Friday, March 14, 2008

Articles in Kakiseni.com by Dr Zulkifli Mohamad

Dear friends,

Dr Zulkifli wrote an article in kakiseni.com.

Rahime Harun: 1954 - 2008 by Dr. Zulkifli Mohamad

Rahime Harun dilahirkan kembar di Georgetown, Pulau Pinang pada 29 September 1954. Allahyarham mendapat pendidikan sekolah rendah dan menengah di Sekolah Saint Mark, Butterworth, Pulau Pinang dan Sekolah Menengah Georgetown, Pulau Pinang. Beliau menyambung pelajaran di Institut Teknologi MARA (ITM) pada tahun 1972 dan menjadi graduan Bachelor of Arts dalam bidang Industrial Design pada tahun 1976. Beliau pernah berkerja sebagai Pereka Muda di Paul Corley Kadar Associates, Pereka di Lembaga Kraftangan Malaysia, Display Executive di Metrojaya, dan Pemangku Kurator di Balai Seni Lukis Negara (BSLN) di antara tahun 1976 dan tahun 1983.

Allahyarham mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran di dalam Diploma Entrepreneurship Development (Art Business) di ILO, Turin, Italy, dengan menerima biasiswa daripada Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1984. Beliau kemudiannya menubuhkan galeri persendirian, A.P Gallery, bersama isterinya, Puan Zarina Ariffin, apabila Melewar Corporation membaikpulih bangunan Central Market menjadi Pasar Seni pada tahun 1985.

Sebagai seorang printmaker, Rahime pernah mengambil bahagian dalam lebih dari 30 buah pameran di Malaysia dan luar negara, bermula dari Pameran Seni & Reka di Shah Alam pada tahun 1976 dan Anak Alam pada tahun 1983 hinggalah ke Bangkok, Seoul, Hanoi, Jogjakarta, Mexico dan London pada tahun 1996. Pameran Self-Portraitnya AKU, yang dikuratorkan oleh J.Anu, pernah diadakan di Galeri Petronas, Kuala Lumpur pada tahun 1999. Sebagai seorang rakan kongsi sebuah galeri pula, Rahime sudah pernah menganjurkan hampir 70 buah pameran seni rupa di Malaysia dan di United Kingdom, yang memaparkan hasil karya seniman-seniman terkenal Malaysia termasuk O.Don Eric Peris, Ahmad Khalid Yusoff, Sharifah Fatimah Zubir, Ismail Ab.Latif, Raja Azhar, Khalil Ibrahim, Wong Kim Chin, Rudolf G.Usman serta Kumpulan Matahati.

Beliau kembali ke menara gading pada tahun 1995 untuk menyambung pengajian ke peringkat Master of Art and Design Education di bawah De Monfort University, United Kingdom dan Universiti Teknologi MARA.

Allahyarham Rahime Harun, sebagai seorang seniman sekaligus pencinta seni rupa, bukan hanya aktif mengurus, menulis dan memberikan syarahan tentang seni rupa dan pengurusannya, tetapi beliau juga merupakan seorang kolektor seni rupa yang aktif dan disegani ramai. Kredibilitinya sebagai seorang pejuang seni di Malaysia telah menempatkan dirinya sebagai juri pertandingan-pertandingan seni rupa, termasuk Bakat Muda, Balai Seni Lukis Negara dan Open Show, Galeri Shah Alam sejak tahun 1983.

Semangat “Anak Alam”nya yang memperjuangkan seni di Malaysia, menyaksikan beliau bergiat aktif dalam banyak persatuan semasa hayatnya, termasuk Persatuan Pelukis Malaysia, International Artists Association, Angkatan Pelukis Semenanjung, Ahli Seumur Hidup Penulis Nasional(PENA) serta penasihat Angkatan Karyawan Aktif Kuala Lumpur(ANGKA) yang bergiat dalam bidang teater. Sebagai seorang yang banyak mempunyai pengalaman di dalam bidang seni, Allahyarham Rahime Harun, tidak pernah jemu untuk memberikan galakan dan dorongan kepada seniman-seniman muda untuk terus berjuang menegakkan seni.

Rahime juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Galeri Shah Alam dan Selangor Art Foundation antara tahun 1997-2001. Beliau terpaksa berundur dari jawatan Ketua Pengarah di BSLN pada tahun 2005 kerana sebab-sebab kesihatan yang tidak mengizinkan. Pun begitu allahyarham tidak boleh tidak untuk menghadiri pameran-pameran seni rupa serta persembahan-persembahan teater dan sempat menganggotai penubuhan awal Majlis Seni Malaysia.

Terakhir, kita sempat menyaksikan rakaman video beliau berbicara tentang kumpulan seniman Matahati yang ditayangkan di Pembukaan Pameran Matahati di Galeri Petronas pada hari Isnin 10 Mac 2008 lalu. Beliau dikatakan sebagai orang penting di dalam penubuhan awal kumpulan tersebut.

Rahime Harun, seniman dan pejuang seni Bangsa Malaysia, telah diserang sakit jantung semasa berada di Melbourne, pada 11 Mac 2008 dan beliau diberitakan kembali ke rahmatullah pada jam 4.45 petang, 12hb Mac 2008 di Melbourne Hospital, Melbourne, Australia. Sesungguhnya kita telah kehilangan sebutir lagi bintang yang menyuluh dunia seni rupa kita.

Semuga rohnya dicucuri rahmat. Salam takziah dipanjatkan kepada balu allahyarham, Puan Zarina Ariffin dan anak tercinta serta seluruh ahli keluarga. Al-Fatihah.

**Updated
Jenazah Allahyarham Rahime Harun yang bakal tiba di Kuala Lumpur International Airport, Sepang pada 18 Mac 2008 akan dibawa ke kediamannya di Taman Melawati, Kuala Lumpur.
~
Zulkifli Mohamad lectures on dance theatre, traditional theatre, arts management, and visual arts at University Malaya.

1 comment:

zubin said...

Thx for posting it here. God bless!