Thursday, March 20, 2008

Beliau yang bernama Rahime-Utusan Malaysia, 20 Mac 2008

Beliau yang bernama Rahime
Bersama Azman IsmaIl (adik1102@yahoo.com)

“LAKSANA ombak yang melaju ke pantai berpasir. Minit demi minit bergerak menuju kehancuran. Semuanya bertukar tempat dengan pendahulu,” tulis dramatis agung, William Shakespeare.

Bagi Shakespeare, manusia di muka bumi adalah sebahagian daripada sebuah proses perjalanan waktu yang kesemuanya akan berakhir dengan kematian. Oleh itu, dunia hanyalah sebuah pentas opera dan makhluk-makhluknya merupakan para pelakon.

Proses perjalanan waktu meletakkan manusia dalam satu kemustahilan. Sebagaimana ungkapan Shakespeare, kita tidak mungkin membalik waktu yang tidak hanya berlaku untuk makhluk-makhluk hidup.

Bukan hanya manusia, tapi bintang-bintang dan galaksi juga dilahirkan dan mengalami kematian - sebuah titik akhir kepada sistem jagat raya.

Proses kehidupan dan kematian berlaku untuk semua aspek tapi bukan hanya dalam makna yang negatif. Berdampingan dengan kematian, hadirlah kehidupan, dan kewujudan sistem antara titik permulaan dan akhir tersebut.

Tanpa kematian, kehidupan itu sendiri tidak mungkin wujud. Kita dari alam dan akan kembali ke alam. Manusia memahami bahawa sebagai makhluk mereka akan menemui kematian di hujung waktu kehidupan yang mereka tempuh.

Para pemikir Greek kuno seperti Heraclitus (pengasas aliran dilektik) mengemukakan pandangan bahawa sesuatu tidak akan hadir tanpa kehadiran yang lain.

Kedua-dua elemen tersebut saling menentukan, saling membatasi dan saling mendefinisikan. Ini kerana ruang dan waktu adalah kesatuan daripada unsur-unsur yang paling asas, manakala manusia adalah kayu ukurnya.

“Mustahil kita menciptakan atau memusnahkan perjalanan antara dua titik awal dan akhir. Sama seperti waktu, yang tidak dapat dimulai dan tidak dapat dihentikan; kerana tidak mungkin ada ‘sebelum’ dan ‘sesudah’,” tulis Aristotles.

Pelukis dan Bekas Ketua Pengarah Balai Seni Lukis Negara (BSLN), Rahime Harun adalah sebahagian proses perubahan waktu dan perjalanan antara titik mula dan titik akhir tersebut.

Pada 12 Mac lalu Allahyarham kembali ke Rahmatullah di Melbourne Hospital, Melbourne, Australia kerana serangan jantung, sesuatu yang sememangnya tidak pernah diduga oleh kita.

Namun, perjalanan awal dan akhir adalah realiti yang tidak boleh ditolak oleh sesiapa pun dan proses itu akan terus berlangsung tanpa henti walaupun sedetik (meminjam pendapat Aristotles).

Sebagai seorang pelukis dan printmaker, Rahime memberi sumbangan besar dalam kembaranya antara dua titik tersebut. Beliau pernah mengambil bahagian dalam lebih dari 30 buah pameran di tanah air dan luar negara.

Ia bermula sejak Pameran Seni & Reka di Shah Alam pada tahun 1976 dan Anak Alam pada tahun 1983. Sejak itu Allahyarham tidak menoleh ke belakang lagi. Pengembaraan seninya melangkah hingga ke Bangkok, Seoul, Hanoi, Jogjakarta, Mexico dan London.

Sementara

Namun, seperti ungkapan Micheal Foucault dalam tulisannya pada 1966, manusia hanyalah penemuan sementara dan akan musnah seperti wajah yang dilukiskan pada permukaan pasir.

Sama seperti makhluk-makhluk lain, Rahime juga merupakan sebahagian daripada kesementaraan tersebut atau oleh Aristotles disebut sebagai mencapai titik akhir daripada perubahan waktu.

Kesementaraan itu ditafsirkan oleh Immanuel Kant sebagai hakikat fenomena hakikat waktu dan ruang yang saling melengkapi atau turut dikenali sebagai gejala realiti.

Dalam bukunya The Critique of Pure Reason, Kant melontarkan pendapat bahawa ruang dan waktu adalah sebuah sistem yang melengkapi titik permulaan dan titik akhir kepada kehidupan makhluk di muka bumi.

Bagi Kant, proses perjalanan antara dua titik tersebut (berasaskan kepada pemikiran logik dan kebenaran empiris) penuh dengan unsur-unsur kontradiksi - sesuatu yang dikupas dengan lengkap oleh Frederich Hegel dalam bukunya The Science of Logic.

Perjalanan Allahyarham Rahime antara kedua-dua titik tersebut adalah sebuah pertembungan kontradiksi- kontradiksi tersebut. Empirisisme dan pemikirannya berjaya melahirkan sesuatu yang sangat berharga kepada dunia seni tanah air.

Memang, kehilangan seorang pelukis di negara mana pun tidak pernah mendapat penghormatan kenegaraan. Tidak akan ada kibaran bendera separuh tiang atau tembakan meriam.

Setidak-tidaknya, Allahyarham meninggalkan legasi seni yang besar dan layak dikenang oleh seluruh rakyat negara ini. Namun, seni tidak pernah berada di kedudukan paling tinggi dalam sesebuah negara bangsa.

Mungkin metafora dalam sebaris baris puisi penyair legenda Britain, Alexander Pope, Elegy to the Memory of an Unfortunate Lady (1717) cukup menarik untuk melihat perjalanan Allahyarham;

Alam dan seluruh hukumnya tersembunyi di kegelapan.

1 comment:

Anonymous said...

salam...