Tuesday, October 07, 2008

First time writer

I was asked to write about my late father for his exhibition in National Art Gallery soon. I'm very nervous since I have no experience in writing except for this blog. I don't know what to write but I know to write about truth on my personal experience. So dear friends, please feel free to read and comment. Really appreciate for any feedback for my writings.



Abahku, Hj Rahime Harun
1954-2008
oleh Nazura Zahian Rahime


I've lived a life that's full -
I've travelled each and every highway.
And more, much more than this,
I did it my way…

Terasa bagai semalam kudengar Abah menyanyikan lagu My Way oleh
Frank Sinatra. Aduh, manisnya saat-saat itu. Kami menyanyi riang sekeluarga.
Kini yang tinggal hanyalah imbasan-imbasan kenangan yang aku simpan di kotak memoriku.

Aku dibesarkan dengan penuh warna-warni. Persekitaranku penuh dengan visual seni tampak. Dari Anak Alam aku habiskan masa hujung mingguku dengan belajar melukis hinggalah ke alam Central Market aku belajar berniaga menjual poskad. Anak Alam dan Central Market seumpama rumah keduaku. Pelukis dan penyair yang menjadi teman Abah, ku panggil Pakcik atau Uncle. Tiada apa yang asing bagiku. Kami adalah keluarga di atas nama cinta seni.

Kami hidup serba sederhana. Yang aku tahu, seni adalah segala-galanya buat Abah. Biarlah rumah kami kecil, asal harta seni kami besar. Biarlah kereta Abah second hand, asal Abah dapat bantu insan seni. Itulah abahku, Rahime Harun. Seorang insan yang berjiwa besar dan sangat berpandangan jauh.

Seingatku, belum pernah aku tinggal di ruang yang dindingnya kosong. Sewaktu aku di bangku sekolah, pelajaran pertama yang sering Abah titik beratkan adalah matapelajaran seni. Malah setiap kali aku pulang dari sekolah dengan kad laporan, mata Abah pasti tertumpu pada markah pendidikan seni. Mujur, aku melepasi piawaian yang Abah tetapkan. Masih ingat lagi aku dengan kata-kata Abah sewaktu aku belajar teknik watercolour wet on wet. Katanya, “ A brush is like a dancer on a stage”. Waktu itu, aku bingung menterjemahkan metafora itu.

Selain daripada seni tampak, Abah punya minat dalam teater dan filem. Malam mingguku dipenuhi dengan aktiviti menonton teater ataupun menonton wayang di Cathay sambil menikmati hotdog special. Dalam perjalanan pulang, Abah sering membuat mini critic session di kalangan Mama dan aku. Pandanganku didengar tanpa diskriminasi walaupun waktu itu aku masih bersekolah rendah.

Abah punya jiwa yang sensitive apabila menonton filem yang menyentuh hati. Entah berapa kali, Abah menitis air mata selepas melihat filem yang punya penceritaan yang indah. Pernah juga dia meluahkan hasratnya untuk membuat filem pendek bersama-samaku, namun atas kebatasan waktu kami simpan hasrat itu.

Abah sangat gemar menjelajahi dunia. Abah pernah berkata“ If I travel, I feel so much alive”. Benar, kata-kata Abah. Setiap kali kami ke luar Negara, Abahlah orang yang berjalan paling laju. Aku dan Mama sering tertanya-tanya bagaimana dia punya tenaga yang banyak sedangkan ketika di rumah dia nampak kurang sihat. Tempat wajib yang pasti dituju adalah muzium-muzium seni. Sewaktu aku berusia 5 tahun, aku dibawa menikmati lukisan-lukisan tersohor Eropah. Namun waktu itu, apalah yang anak kecil ini tahu tentang Picasso, Van Gogh dan Monet. Aku akan memuncungkan mulutku tanda protes kerana aku sudah bosan dengan muzium seni. Tanpa putus asa, Abah akan menggendongku dibelakangnya untuk meneruskan perjalanan menjelajahi warisan seni dunia.

Pada tahun 1984, Abah berpeluang belajar di Turin, Italy di dalam pengurusan usahawan. Sewaktu itu Abah sempat menziarahi Peggy Guggenheim muzium di Venice. Bermula dari situlah, Abah menyimpan hasrat untuk mempunyai muzium seninya sendiri. Aku masih ingat kami sekeluarga berjalan kaki dari Central Park ke Solomon R.Guggenheim Museum di New York berbekalkan roti telur yang dimasak oleh Abah. Terakhir sekali, Abah sempat pergi ke Guggenheim Bilboa di Spain bersama-sama Mama pada tahun 2007. Sewaktu itu Abah sudah mula kurang sihat namun kerana keinginannya untuk sampai ke muzium idolanya, Abah gagahi langkahnya. Setiap kali Abah ke Guggenheim muzium, Abah pasti meluahkan impiannya. “One day, I will have my own museum”. Besar sungguh impian Abah.

Tahun demi tahun, semakin banyak hasil seni bertambah di premis kami. Ada sahaja lukisan dan arca baru dibawa pulang oleh Abah. Aku pula semakin dewasa, sudah tamat pengajian di dalam jurusan creative multimedia. Hasrat Abah untuk aku mengambil alih perniagaannya aku tolak dengan rasa berat. Padaku, biarlah aku belajar dari bawah dalam dunia perniagaan yang aku cipta bersama teman karibku kini suamiku. Alhamdullilah, Abah dan Mama menyokong penuh dengan apa yang kami usahakan. Pernah aku melihat Abah menangis melihat hasil kerjaku. Aku tersenyum bangga kerana berjaya mengusik jiwa Abah.

Awal tahun 2008, Abah sering bertanya padaku, “Bila kita nak pergi holiday dengan
E-am ( panggilan nama anakku)? Abah teringin nak pergi holiday dengan cucu”.
Aku sendiri sudah lama tidak bercuti dengan Abah dan Mama semenjak aku berkahwin. Dengan izin Allah, kami berlima berangkat ke Australia. Destinasi kami bermula dari Sydney kemudian kami memandu ke Melbourne. Berkali-kali dalam perjalanan kami ke Melbourne, Abah mengucapkan Allah HuAkbar memuji-muji kebesaran Allah di bumi asing ini. Tidak kusangka, percutian kami yang dipenuhi gelak ketawa di akhiri dengan tangisan apabila Abah diserang sakit jantung di rumah sepupuku, Fadhli Rahim di Brunswick, Melbourne. Abah koma selama 2 hari di Wad ICU di Royal Melbourne Hospital. Kami masih mengharap Abah akan pulih namun tiada apa yang dapat melawan takdir ketentuan Ilahi. Pada 12 Mac 2008 jam 740 malam waktu Melbourne, Abah menghembuskan nafas terakhirnya dengan tenang.
Masih teringat lagi Mama menceritakan padaku sebelum Abah meninggalkan rumah, didalam doa solat musafirnya, Abah berdoa “Ya Tuhanku, aku bermusafir untuk melihat kebesaranmu, Ya Allah”. Abah seumpama tahu bahawa dia akan pergi buat selama-lamanya.
Kami Redha dengan ketentuanmu, Ya Allah.

Abah,
Kami sekeluarga sangat-sangat merinduimu. Kami rindu dengan gelak tawamu. Kami rindu dengan masakanmu. Masih terlalu banyak yang belum aku pelajari daripadamu. Masih terlalu banyak cerita yang belum Abah sampaikan padaku, Namun yang pasti aku sangat mengerti dan memahami impianmu. Impianmu akan ku galas dengan penuh rasa cinta dan tanggungjawap. Damailah disana, Abah. Semoga rohmu dicucuri rahmat dan semoga segala kebaikanmu mengiringi perjalananmu.

Terasa seperti baru aku memeluk Abah dengan deraian air mata.

Abah tidak meninggalkan aku bersedihan tetapi Abah telah meninggalkan impiannya untuk ku kejar sepanjang hayatku… Inilah legasi keluarga kami.

Inilah Legasi Rahime Harun.

10 comments:

lynn saleh said...

akak nangis baca entry ni..sedih ah..u really touch my heart..bravo..gud luck k..

Anonymous said...

pergh.. bagus banget nih tulisannya... ending yg cukup punchy... aku takde nak komen apa2... sebab dah original sgt ni... tapi ada kesalahan grammar yg kenit2.. dan ada gak skit2 aku nak suggest.. hihi..

kalau kucing, katakan kucing.
kalau boleh, katakan boleh. ;)

michelleho said...

Very nice and touching... Bravo!

Aapitz said...

Fishie...

No need to worry.... u write it very very well...

The truth that comes from your heart make it so alive and i'm sure it will touches everybody's heart...

Good job..!!

Anonymous said...

-brovo-touching-

semoga rohnya ditempatkan di tempat org2 yang beriman...amin....

Anonymous said...

;~).memahami perasaanmu...perjalanan kita sama..

hasnuddin said...

Saya terklik link yang membawa saya ke artikel ini ketika saya sedang sibuk. Pada mulanya tak bercadang nak baca, cuma nak 'tengok' saja.

Tapi, akhirnya, saya terpukau untuk baca juga, baris demi baris, hingga ke ayat terakhir.

Norhaidatul Azian Tajul Ariffin said...

sebak datang bertamu membaca entry ini.kita sama,kehilangan lelaki paling agung dalam hidup kita.bezanya Zura masih baru,sedangkan saya sedari kecil baru bertatih sudah kehilangan lelaki yang tanpanya kita tidak wujud di muka bumi ini.Kenangan semuanya menjadi arca-arca kehidupan yang bergenang dengan manis pahitnya untuk kita dakap mengharung hidup dengan penuh tabah walau dalam bening mata salju.Yang pastinya,semuanya membangkitkan semangat untuk kita terus tabah melangkah dengan tapak-tapak kukuh untuk hari mendatang...:-)

~Yann~
Manggis Fans

guru besar haneem kaydeen said...

Allahyarham was a gentleman. Pagi raya tahun lepas saya dihubunginya semata-mata bertanya keadaan saya selepas histerektomi yang sama kes spt ibu sdri. Saya yang bertahan sebulan tanpa setitik air mata sebelum itu, pada malam itu meraung dalam dakapan suami kerana terkesan dengan segala nasihat beliau.
Moga Allahyarham tenang ditempatkan di kalangan orang2 yg beriman. Insyaallah

DIN said...

AWE.SOME... Al-Fatihah